Ahli Majlis MPK Diarah Bercuti Sementara Siasatan Dilakukan - Menteri Besar Selangor

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ahli majlis Perbandaran Klang (MPK) Tee Boon Hock diarahkan bercuti sementara siasatan dilakukan ke atas dakwaan yang mengaitkan beliau dengan penyalahgunaan kepala surat dan cap rasmi Exco bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kontrak MPK.
Beliau berkata Tee akan bercuti bermula esok sehingga satu tempoh yang akan diberitahu.
"Tee sendiri telah maklum dengan perkara ini dan beliau bersetuju dengan rela hati untuk bercuti buat sementara waktu," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis konvokesyen ke-9 Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di sini.
Katanya kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Audit Negeri menyiasat dakwaan seorang ahli majlis MPK telah menyalahgunakan kepala surat dan cap rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.
Pada Rabu, Tee dalam satu kenyataan menafikan beliau adalah ahli majlis MPK yang dimaksudkan itu.
Abdul Khalid berkata kerajaan negeri tidak akan menghukum seseorang itu sehingga siasatan mendapatinya bersalah.
"Jika didapati bersalah kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dan tindakan tegas akan diambil," katanya.
Last Updated (Friday, 30 July 2010 02:41)



